Tuesday, September 28, 2010

Siswazah Perlu Selami, Fahami Hal Kemanusiaan

Salam,

Sewaktu mengemas inbox dalam FB, terjumpa saya dengan article yang dikirim rakan FB dari yayasan Salam, berikut adalah artikel yang amat berguna untuk menilai sumbangan dan aktiviti alumni UTeM..boleh juga dijadikan "guideline"

++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

Oleh : Tan Sri Razali bin Ismail

Graduan bertanggungjawab zahir masa depan lebih sejahtera

PADA 2000, kira-kira 10 tahun lalu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengeluarkan satu deklarasi yang dipersetujui 147 ketua negara untuk melaksanakan ‘Deklarasi Millennium’ bagi menzahirkan kerjasama global pada abad ke-21 melalui ‘Matlamat Pembangunan Alaf (MDG)’ yang berusaha untuk mengatasi masalah bersama.

Antaranya mengurangkan kemiskinan tegar dan kebuluran, menyediakan pendidikan asas kepada kanak-kanak di seluruh dunia, meningkatkan kesamaan gender dan pengukuhan golongan wanita dalam pelbagai bidang, memerangi penularan wabak HIV/Aids dan penyakit berbahaya, pembangunan lestari dan lain-lain. MDG disasarkan pencapaiannya pada 2015, iaitu kira-kira lima tahun daripada sekarang. Kenyataannya, ia masih jauh daripada jangkauan. Laporan terkini yang dikeluarkan PBB, menunjukkan kebimbangan yang amat sangat untuk MDG dicapai sepenuhnya dalam tempoh ditetapkan.

Malah inilah sepatutnya kebimbangan semua, yang sebenarnya boleh dilihat pada depan mata kita hari ini, di negara kita sendiri pun. Dunia juga berdepan pelbagai bencana alam dan konflik dengan laporan terkini menyatakan bahawa sejak 2000, dunia menyaksikan lebih 35 konflik dan lebih 2,500 bencana alam di seluruh dunia.
Universiti Sains Malaysia (USM) misalnya, sudah memainkan peranannya dengan menggembleng kepakaran menerusi Unit Kajian Bencana, Pusat Kajian Kelestarian Global, Unit Penyelidikan Pendidikan untuk Perdamaian, Pusat Penyelidikan Pembangunan Wanita dan lain-lain lagi yang mampu secara langsung menyumbang kepada kesejahteraan yang kita harapkan.

Kejayaan membawa lebih 30 orang pemimpin universiti dari Mindanao baru-baru ini untuk membantu penyelesaian konflik di Selatan Filipina adalah antara contoh terkini. Namun apa pula peranan kita sebagai individu yang berilmu untuk menyokong usaha seperti ini.
Adakah sekadar berbangga dengan kejayaan dan pencapaian hebat membina bangunan tinggi, kereta dan rumah mewah yang kita diami sehingga kita lupa nasib orang lain di sekeliling. Kita bercakap mengenai kemiskinan dan kebuluran dan simpati mereka yang tiada makanan dan perlindungan.

Namun pada masa sama, meja makan kita mewah dengan pelbagai juadah yang sisanya dibuang ke tong sampah dan merungut hanya kerana makanan tidak sedap mengikut ukuran selera kita.

Kadang-kala kita bangga dengan pakaian berjenama mahal yang harga sehelai mampu menyara kehidupan sebuah keluarga di kampung pedalaman atau beg tangan dengan harga yang mampu menitiskan air mata seorang ayah yang berusaha menyara persekolahan anaknya.

Siswazah bukan hasil produk sebuah kilang seperti robot yang diprogramkan. Universiti harus mendidik dan mengajar cara berfikir dengan kekuatan akal dan hati budi untuk faedah manusia dan alam pada hari ini, malah pada masa depan dengan memanfaatkan ilmu pengetahuan dalam melakukan perubahan di mana saja di seluruh pelosok dunia.

Cuba bayangkan dengan hati nurani, redup mata anak malang yang berpakaian compang-camping tidur di kaki lima bangunan dan lorong penuh sampah. Bayangkan anak muda yang terjebak dalam dadah dan hidup di jalanan. Lihat wajah warga tua yang kesunyian. Lihatlah dengan mata hati, nasib bayi yang dibuang mati dikerumuni serangga di longkang atau hadapan rumah kita semata-mata kerana ibunya takut menghadapi musibah tekanan keluarga dan masyarakat.

Dengarkan laungan suara anak kecil yang disepak terajang, didera dan disakiti tanpa belas kasihan dan renungi nasib serta derita mangsa HIV/Aids yang menunggu masa pemergiannya di lorong gelap sambil merenung masa depan anak yang akan ditinggalkan.

Apakah perasaan kita, jika mereka yang kita bayangkan itu sebenarnya pernah hidup, makan, tidur dan bermain sebumbung dengan kita dulunya. Sayangi mereka yang ada bersama kita pada masa ini sebelum mereka pergi meninggalkan kita dan belajarlah berterima kasih kepada semua kerana itulah petanda orang yang bijaksana.

Siswazah hari ini perlu fikirkan peranan masing-masing untuk zahirkan dunia dan masa depan yang lebih sejahtera.

Tan Sri Razali Ismail adalah Pro Canselor USM yang juga bekas diplomat dan Presiden Persidangan PBB (Teks disesuaikan daripada ucapan pada majlis Konvokesyen Ke-41 USM Sabtu lalu)

No comments:

Post a Comment